Thursday, November 24, 2016

Keratan Akhbar Sinar 23 Nov 2016


Demi ayah Pengetua SMAR Maahad Al-Islah sanggup korbankan cita-cita untuk jadi peguam

Oleh: MOHAMAD HAFIZI MOHD SAID
Sumber: www.gpsbestari.com

Setiap hidup manusia itu diatur sebaik-baiknya oleh ALLAH dan kita sebagai umatnya hanya mampu merancang, namun ALLAH juga menentukannya.

Itulah yang dilalui Pengetua Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) Maahad Al-Islah, Sungai Lampam, Ustaz Agus Lokman Sulam yang pada mulanya tidak menyangka akan menguruskan sebuah sekolah agama dan seterusnya berbakti kepada masyarakat.

Agus Lokman yang dilahirkan di Sungai Lampam, Perak pada mulanya menanam cita-cita untuk menjadi seorang peguam selepas tamat pelajarannya di Universiti Al Azhar Mesir pada 1993.

Namun segalanya berubah apabila beliau membuat keputusan untuk menjadi pendidik di SMAR Maahad Al-Islah yang dibina Allahyarham bapanya, Sulam Mansor.

“Selepas tamat pelajaran di Sekolah Izzuddin Shah, Ipoh pada 1983, saya menyambung pelajaran di Kolej Islam Klang pada 1984 hingga 1985 dan seterusnya mengambil Sijil Tinggi Agama (ketika itu) di Sekolah Raja Perempuan Taayah, Ipoh pada 1986 hingga 1987.

“Alhamdulillah saya berjaya melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Syariah di Universiti Al Azhar selama enam tahun dan kembali ke Malaysia selepas itu,” katanya.

Menurut Agus Lokman, pada mulanya beliau berhasrat menyambung pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dalam bidang Diploma Undang-Undang, namun hatinya terasa berat dengan keputusan berkenaan.

“Ketika saya di Mesir, arwah ayah sudah bina sebuah sekolah agama di kampung kami iaitu Sungai Lampam dan dari raut wajahnya, saya dapat membaca bahawa dia mengharap anaknya ini berbakti di sekolah berkenaan.

“Arwah ayah saya tidak pernah menghalang saya untuk mengejar cita-cita menjadi seorang peguam, namun apabila memandang raut wajahnya saya tahu bahawa ada satu harapan jauh di sudut hatinya supaya saya mengajar di sekolahnya,” katanya.

Menyedari perkara berkenaan Agus Lokman akhirnya mengambil keputusan mengajar di sekolah agama yang dibina oleh bapanya itu.


Tak kenal maka tak cinta

Benar kata pepatah, tak kenal maka tak cinta dan itulah yang dilalui Agus Lokman selepas memilih bidang perguruan sebagai kerjayanya, malah sejak itu pelbagai usaha dilakukannya bagi memartabatkan sekolah agama.

“Saya masih ingat ketika kerajaan umum penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik semua sekolah diberi komputer riba, projektor dan skrin layar.

“Sekolah kami tidak menerima kemudahan berkenaan, tetapi saya dan arwah ayah mengumpul wang sehingga RM8,000 bagi membeli peralatan tersebut bagi memastikan pelajar Maahad Al-Islah tidak ketinggalan,” katanya.

Bapa kepada tiga cahaya mata ini berkata, beliau dapat membuktikan walaupun apa sahaja perubahan pendidikan yang berlaku sekolahnya tidak akan ketinggalan.

“Saya juga menggunakan pendekatan kurikulum tidak bertulis bagi membentuk pelajar cemerlang dalam subjek lain.

“Sejak itu, perasaan sayang kepada bidang pendidikan semakin bertambah malah berasa bersyukur diberi peluang bergelar pendidik,” katanya.


Ubah persepsi negatif terhadap sekolah agama

Persepsi masyarakat terhadap sekolah agama, pondok mahupun maahad merupakan antara cabaran yang terpaksa dilalui oleh Agus Lokman sepanjang bergelar guru dan kini pengetua.

“Pelbagai persepsi yang wujud terhadap sekolah agama seperti Maahad Al-Islah ini, ada yang kata sekolah agama adalah sekolah anak-anak orang Pas, sekolah kelas kedua dan pelbagai lagi.

“Malah ada ibu bapa yang takut hantar anak ke sekolah atas sebab-sebab persepsi yang mereka dengar daripada orang ramai,” katanya.

Menyedari masalah ini, Agus Lokman mengambil pendekatan sendiri untuk mengubah pandangan masyarakat.

“Saya ambil kembali kaedah digunakan arwah ayah ketika menubuhkan Maahad Al-Islah ini iaitu tidak pinggirkan penduduk kampung dalam pendidikan agama.

“Saya mendekati semua lapisan penduduk di sekitar Sungai Lampam dengan mengadakan aktiviti sekolah bersama mereka, mengadakan kuliah dan pelbagai lagi,” katanya.

Terus berbakti kepada masyarakat

Agus Lokman terus menabur bakti sama ada kepada masyarakat mahupun sistem pendidikan agama.

Menurut Agus Lokman, beliau pernah terlibat sebagai panel penggubal soalan Bahasa Arab Penilaian Sekolah Menengah (PMR), Ketua Penggubal Soalan I’dadi-Thanawi, Ketua Pemeriksa Bersama Bahasa Arab Kebangsaan PMR.

"Alhamdulillah khidmat saya masih lagi diperlukan di mana saya juga Ketua Panel Peperiksaan Akhir Tahun Kafa Negeri Perak, Ketua Pentaksir Bahasa Arab PT3 Negeri Perak dan Jurulatih Utama Kebangsaan Bahasa Arab PT3.

“Saya juga menyertai badan bukan kerajaan antaranya Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (i-Guru) dan Pertubuhan Pendokong Sekolah Agama Rakyat (PPSR) Negeri Perak," katanya.

Katanya, insya-Allah, beliau akan terus berjuang bagi memartabatkan pendidikan sekolah agama meskipun pelbagai cabaran dihadapi.

Profil
Nama: Agus Lokman Sulam
Lahir: 15 Januari 1968
Asal: Sungai Lampam, Perak
Kerja: Pengetua SMAR Maahad Al-Islah
Anak: Tiga orang




Sumber: http://www.gpsbestari.com/mobile/artikel/personaliti/demi-ayah-pengetua-smar-maahad-al-islah-sanggup-korbankan-cita-cita-untuk-jadi-peguam-1.589873